ROZAINAH OSMAN (D20102045881)
Sunday, 4 December 2011
Definisi Tatabahasa ialah bidang yang menumpukan perhatian terhadap pembentukan kata dan proses pembinaan ayat sesuatu bahasa. Bahasa terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya. Ayat pula terdiri daripada rentetan perkataan yang bermakna. Perkataan dibina oleh gabungan bunyi-bunyi dalam sesuatu bahasa yang mempunyai makna, digabungkan menjadi suku kata dan perkataan. Bidang tatabahasa mengkaji cara-cara perkataan itu terbentuk dan selanjutnya bagaimana(cara) perkataan itu bercantum membentuk frasa dan ayat. Kajian tentang bidang tatabahasa dilakukan dari dua segi, iaitu cara perkataan itu dibentuk daripada bunyi bahasa dan cara perkataan itu disusun menjadi ayat. Contoh pembentukan kata ialah perbincangan tentang cara perkataan terbentuk melalui penggabungan awalan, akhiran dan apitan, manakala contoh pembentukan ayat ialah perbincangan tentang subjek dan predikat serta pola ayat. Bidang huraian pada peringkat perkataan dikenali sebagai morfologi manakala peringkat ayat dikenali sebagai sintaksis. Dengan perkataan lain, bidang tatabahasa terbahagi dua, iaitu morfologi dan sintaksis. Morfologi Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur kata, bentuk kata,dan penggolongan kata. Bentuk kata pula ialah sesuatu unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal atau dihasilkan melalui beberapa proses pembentukan kata seperti pengimbuhan dan penggandaan. Contoh: bentuk kata tunggal - lancar, pengimbuhan - pelancaran, pemajmukan - papan tanda, penggandaan - buku-buku. Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan dalam sesuatu bahasa berdasarkan keserupaan bentuk dan fungsi perkataan lain dalam golongan yang sama. Perkataan dapat digolongkan kepada kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Sintaksis Sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji proses pembinaan ayat. Sintaksis bermaksud bidang yang mengkaji rumus tatabahasa yang berdasarkan kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa. Ayat Ayat ialah unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap.Ayat boleh terbentuk daripada satu perkataan atau susunan beberapa perkataan yang pengucapannya dimulakan dan diakhiri dengan kesenyapan serta mengandungi intonasi yang sempurna. |
Saturday, 3 December 2011
Kata adjektif ialah kata yang menerangkan sifat atau keadaan sesuatu nama.
Contoh jenis-jenis kata adjektif:
Kata Adjektif | Maksud | Contoh |
1. Kata Adjektif Sifat / Keadaan | Menerangkan sifat atau keadaan | Cerdik, bijak, cantik, rajin. |
2. Kata Adjektif Warna | Menerangkan warna | Biru, merah, kuning, hijau, putih |
3. Kata Adjektif Ukuran | Menerangkan ukuran | Tebal, nipis, tinggi, rendah, panjang, pendek. |
4. Kata Adjektif Bentuk. | Menerangkan bentuk atau rupa. | Bulat, bujur |
5. Kata Adjektif Waktu. | Menerangkan konsep masa | Baru, lambat, lama, lewat, silam. |
6. Kata Adjektif Jarak | Menerangkan konsep ruang antara dua benda atau keadaan. | Jauh, dekat. |
7. Kata Adjektif Cara | Menerangkan keadaan kelakuan atau ragam. | Pantas, perlahan, jarang. |
8. Kata Adjektif Perasaan | Menerangkan konsep perasaan. | Pemalu, ragu-ragu, rindu, sayang. |
9. Kata Adjektif Pancaindera. | Menerangkan konsep rasa, pandang, dengar, bau dan sentuh. | Bising, wangi, kasar, masam, pahit, manis, licin. |
Friday, 2 December 2011
TANDA BACA
1. Tanda baca ialah simbol atau tanda yang digunakan untuk isyarat kepada pembaca supaya melakukan
sesuatu dalam bacaan.
3. Tanda baca utama ialah:
a) Tanda noktah atau titik ( . )
b) Tanda koma ( , )
c) Tanda soal atau tanya (?)
d) Tanda seru ( ! )
KATA HUBUNG
Kata hubung ialah perkataan yang digunakan untuk menggabungkan perkataan dengan
perkataan, rangkai kata dengan rangkai kata, ayat dengan ayat.
Contoh | Ayat Contoh |
agar | Saya berharap agar kamu dapat menghubungi dia segera. |
apabila | Mukanya pucat apabila disoal. |
atau | Awak boleh menaiki bas atau teksi untuk ke sana. |
bahawa | Kami yakin bahawa yang dikatakannya itu benar. |
dan | Leela dan Siu Lan berjiran. |
hingga | Ayah dan kawannya berbual hingga larut malam. |
Jika | Saya berpayung jika hujan. |
Jikalau | Jikalau saya kaya, saya akan membina rumah kebajikan. |
kecuali | Semua murid Nadir kecuali Gopal. |
kerana | Aini menangis kerana terlalu sedih. |
lalu | Burung itu terbang lalu hinggap di dahan pohon. |
manakala | Baju Karim bersih manakala baju adiknya kotor. |
sambil | Zalifah bernyanyi sambil menari. |
serta | Zahid serta abangnya menonton wayang. |
semenjak | Saya berkawan dengannya semenjak kecil. |
sementara | Berusahalah sekuat mungkin sementara badan masih sihat. |
sungguhpun | Sungguhpun buta, orang Itu mampu berdikari. |
supaya | Belajarlah bersungguhsungguh supaya pandai. |
walaupun | Walaupun letih, diselesaikannya juga kerja itu. |
Subscribe to:
Comments (Atom)





